REGATTA 1Oleh Namawa Farik Salleh ….

KOTA TINGGI 25 Apr.-                Johor Corporation melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dan Persatuan Pelayaran Johor menganjurkan PBT Pengerang – KFC Johor International Regatta 2018 di Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara (KRAMSAU) Desaru di sini, baru-baru ini.

Kejohanan tiga hari yang berakhir Ahad lalu itu telah memasuki edisi ke 16 penganjuran dengan penyertaan seramai 279 pelayar, meliputi 30 buah pasukan dari dalam negara dan luar negara iaitu Indonesia, Kemboja, Singapura, Brunei dan Thailand.

Sebanyak 20 kategori meliputi 5 kelas utama iaitu Optimist, Laser, International 420, 29 Ers dan Windsurfing akan dipertandingkan pada tahun ini.

Yang Dipertua PBT Pengerang, Bukhari Abd Rahman berkata, pihaknya akan menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu daripada acara tahunan bagi menarik kehadiran pelancong ke Pengerang dan mempromosikan lokasi ini sebagai pusat sukan air khususnya bagi acara pelayaran yang baharu setaraf dengan beberapa pusat sukan air yang ada di Malaysia seperti di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah.

REGATTA 2a

Menurutnya, kejohanan ini dimasukkan ke dalam kalendar Pelayaran Malaysia dan diiktiraf oleh MSA bagi menentukan ranking atlet perahu layar Malaysia.

Katanya, kejohanan ini adalah kali kedua diadakan di Desaru. Kejohanan pertama kalinya diadakan pada tahun 2003 di Pasir Layar, Tanjung Langsat, Pasir Gudang sebelum ditukar ke Tanjung Leman, Mersing pada tahun 2011.

“KRAMSAU dipilih sebagai lokasi kejohanan memandangkan faktor kemudahan fasilitinya yang lengkap disamping aksesibiliti kompleks ini yang memudahkan kehadiran pasukan dan pengunjung.

“Bersempena dengan kejohanan ini, KFC merupakan penaja utama bersama-sama dengan barisan penaja-penaja lain seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Desaru Coast Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup rasmi PBT Pengerang – KFC Johor International Regatta 2018 di Kompleks Rakan Muda Sukan Air & Udara (KRAMSAU) Desaru di sini, baru-baru ini.

REGATTA 3Yang turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp merangkap Presiden Persatuan Pelayaran Johor dan Malaysia, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutiff Sekretariat SUKMA Johor, Mohd Noorazam Datuk Osman dan Penghulu Mukim Tanjung Surat, Azmir Mad Razuki.

Bukhari berkata, selain itu, acara kejohanan jong turut dipertandingkan di kejohanan ini dengan penyertaan sebanyak 260 peserta Jong dan 18 persatuan dari dalam dan luar negara.

“Objektif penganjuran jong adalah untuk mempromosikan dan memperkasakan tradisi permainan Melayu Johor dalam kalangan masyarakat setempat dan peminat jong tersebut.

“PBT Pengerang selaku tuan rumah buat kali kedua, meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadikan kejohanan yang diadakan di Desaru ini sebagai acara tahunan yang bertujuan bukan sahaja untuk memperkasakan sukan perahu layar dan atletnya malah untuk menjadi sebuah pusat pelancongan tempatan yang terkemuka di Malaysia seiring dengan kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran dengan Singapura dan Indonesia,” jelasnya.REGATTA 4REGATTA 5

Advertisements