DSC_2889Oleh Namawa Farik Salleh…

KOTA TINGGI 23 Apr.-     Pelaksanaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah untuk mencapai sasaran penyediaan rumah mampu milik dengan subsidi yang tinggi oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique berkata, program ini disediakan khusus untuk membantu rakyat dan golongan berpendapatan RM3,000 kebawah dan golongan setinggan untuk menikmati kemudahan perumahan yang disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, melalui peruntukan bajet 2018 yang lalu sebanyak RM541 juta telah diluluskan bagi meneruskan pembinaan 22,320 unit rumah dalam peringkat pembinaan termasuk 8,750 unit rumah baharu.

“Sehingga kini diseluruh negara, KPKT telah menyiapkan 125 projek melibatkan pembinaan 85,198 unit rumah dengan perbelanjaan hampir RM6 billion.

“Melalui penyediaan unit-unit rumah ini, ia telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat yang memerlukan kemudahan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR), Balai Bomba dan Penyelamat dan Ujana Taman Tasik Bandar Tenggara di sini, semalam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Dr. Mary Wong Lai Lin, Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara (JLN), Esa Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof.

DSC_2998Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Norazman Othman dan penyandang Timbalan Speaker negeri merangkap ADUN Panti, Datuk Baderi Dasuki.

Halimah berkata, bagi negeri Johor sebanyak 14,425 unit rumah termasuk 8,278 unit telah siap dibina dibawah program PPR itu manakala 5,047 unit lagi sedang dibina dan 1,100 unit dalam perancangan termasuk PPR Bandar Tenggara.

Menurutnya, boleh dikatakan kualiti, kemasan dan kemudahan yang terdapat pada PPR ini adalah setanding berbanding dengan rumah-rumah kos sederhana yang dibangunkan oleh pemaju perumahan lain.

Katanya, projek PPR Bandar Tenggara ini merupakan satu janji kerajaan untuk membantu rakyat khususnya warga Bandar Tenggara untuk menikmati kemudahan perumahan yang disediakan oleh kerajaan.

Projek bernilai kira-kira RM75 juta ini akan melibatkan 400 unit rumah kluster satu tingkat beserta kemudahan seperti surau, balai komuniti, kedai dan gerai serta tadika dan taska untuk keperluan bakal penghuni kelak.

Setiap unit rumah bakal mempunyai keluasan 700 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Insyaallah KPKT akan menyegerakan projek disapkan pada tahun 2020 setersnya berharap rakyat yang terpilih untuk mendiami rumah PPR tersebut dapat menghargai dan menjaga sebaik mungkin aset berharga ini agar dapat diduduki dengan selesa dalam jangka masa panjang.

“Hendaknya kita sentiasa berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan menepati janji dalam menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.DSC_2878

Advertisements