KULIM 1aKOTA TINGGI 15 Apr.- Lebih 200 kaki pancing tidak melepaskan peluang mencuba nasib menyertai pertandingan memancing ‘Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge (KKTBFC) 2018’ anjuran Johor Corporation di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail (Nam Heng) Kota Tinggi di sini.

Acara memasuki tahun keenam dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Joran Bagus Sdn. Bhd. itu berlangsung dengan menyaksikan peserta bertanding menggunakan 50 bot bagi merebut hadiah keseluruhan RM25,000 yang ditawarkan penganjur.

Ikan siakap putih seberat 3.900 kilogram (kg) milik Mohd Yusuf Misran, 48, dari Felda Linggiu telah menobatkan beliau sebagai juara kali ini sekaligus membawa pulang hadiah utama berjumlah RM10,000.

Tempat kedua dimenangi Syamsul Alang Singkah, 23, dari Nam Heng, Kota Tinggi setelah berjaya menaikkan ikan siakap putih seberat 2.660 kg seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Manakala tempat ketiga dimenangi Ramli Yahya, 55, dari Taman Saujana, Kota Tinggi setelah berjaya menaikkan ikan pari seberat 2.635 kg dengan hadiah wang tunai RM1,000.

Hadiah disampaikan Pentadbir Tanah, Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Zainal Eran selaku wakil rasmi kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Kulim, Zulkifly Zakariah berkata, penganjuran KKTBFC 2018 ini adalah platform terbaik bagi mempromosikan Sungai Johor sebagai destinasi eko-pelancongan dengan menjadikan Sungai Johor sebagai lokasi memancing di Johor.

Penganjuran acara ini juga adalah antara tanggungjawab korporat Kulim yang dilaksanakan secara berterusan setiap tahun.

Selain memancing turut dianjurkan acara sampingan Kulim Kota Tinggi Badang Man Challenge Sukan Rakyat Ladang Basir Ismail,” katanya.

Advertisements