KOTA TINGGI 12 April – Pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan mulai semalam bukanlah strategi pihak kerajaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya akta berkenaan bertujuan untuk melindungi rakyat secara umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata undang-undang itu bukan satu undang-undang yang menafikan hak untuk bersuara tetapi ia adalah masalah umum supaya rakyat dapat perlindungan.

Menurutnya, undang-undang berkenaan membantu mengeluarkan berita palsu dari platform media sosial.

“Seperti mana yang dijelaskan dalam sidang parlimen bahawa undang-undang berkenaan akan meletakkan keutamaan kepada rakyat.

Kita tahu rakyat yang jadi mangsa berita palsu perlu mendapatkan perlindungan dan undang-undang ini tidak wujud eksklusif di mana ada juga undang-undang lain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang masih boleh berjalan tertakluk yang wajar dipakai dalam kes-kes tertentu,” kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Mahkamah Baharu Pengerang, dekat sini, hari ini.

Azalina turut mempersoalkan sekiranya kerajaan berniat meletakkan undang-undang itu sebagai satu strategi PRU yang memberi kekuatan kepada kerajaan, kenapa perlu diberikan kuasa menentukan berita itu palsu atau tidak kepada mahkamah.

“Kenapa tidak kerajaan bawa undang-undang ini dan letakkan menteri atau kerajaan, agensi sebagai kata putus berita itu benar atau tidak,” kata beliau lagi.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jalil Marzuki; Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Hasbi Hassan dan Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Jabatan Kerja Raya, Ir  Muhammad Azman Jamrus.DSC_2828

image_6

Advertisements