Foto Ihsan IPD Kota inggi

KOTA TINGGI 8 Mac- Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas menemukan 25 bungkus air daun ketum dan lapan botol ubat batuk di dalam sebuah van yang dinaiki di Sungai Rengit, Pengerang dekat sini malam tadi.

Lelaki berusia 22 tahun yang menaiki itu ditahan di hadapan Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia kira-kira pukul 11. 40 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, kenderaan dinaiki lelaki itu ditahan anggota Balai Polis Sungai Rengit setelah dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, anggota polis kemudiannya telah mengarahkan pemandu untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap suspek.

“Hasil pemeriksaan di dalam van tersebut telah menjumpai dua peti tong ais berwarna biru dan oren megandungi 25 bungkus air ketum.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu telah menjumpai satu beg galas berwarna hitam mengandungi lapan botol berisi cecair disyaki ubat batuk tertulis jenis ‘Dynadryl Syrup’. Turut dirampas satu kotak warna hitam mengandungi wang tunai campur-campur berjumlah RM1,010.00.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana ubat batuk yang dirampas disyaki mengandungi Kodein.

Suspek di tahan reman selama empat hari bermula hingga 11 Mac 2018.

Advertisements