foto oleh IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 24 Feb.-           Dua lelaki dipercayai terlibat dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah bangunan kedai tinggal di Jalan Pekan Tanjung Sedili, dekat sini, semalam. (Jumaat)

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata pihaknya membuat serbuan atas maklumat orang awam kira-kira pukul 9.35 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bangunan tersebut yang dipercayai dijadikan tempat menjual dan menghisap dadah membawa kepada penemuan 15 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin berat kasar 108.02 gram dan enam tiub straw berisi bahan disyaki heroin berat kasar 10.34 gram.

Turut dijumpai tujuh paket plastik berisi bahan berbentuk kristal disyaki dadah jenis syabu berat kasar 3.51 gram dan satu ketul daun mampat disyaki dadah jenis ganja berat kasar 1.45 gram.

“Suspek berumur 27 dan 34 tahun dan hasil semakan mendapati kedua-duanya mempunyai tiga rekod lampau bersabit dengan kes dadah di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahsmon, nilai bagi bekalan dadah yang dirampas dianggarkan RM3,460 bagi kegunaan anggaran 350 orang penagih di kawasan tersebut.

Tambahnya, selain dadah, polis turut merampas satu alatan penimbang dan sejumlah wang tunai sebanyak RM1,215 yang dipercayai dari hasil jualan dadah.

“Saringan awal air kencing pihak polis telah mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

“Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai 24 Februari hingga 2 Mac selama tujuh hari untuk siasatan lanjut seterusnya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kimia untuk membuat analisa dadah yang telah dirampas,” katanya lagi.

Advertisements