[Foto kredit FB Orang Kota Tinggi ]

KOTA TINGGI 19 Feb.- Pasangan suami isteri maut terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 36 Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini, petang semalam.

Mangsa Edil Azhar Abdul Rahman @ Mohamed, 39 dan isterinya Noraziah Mohamad Ali, 36  menaiki Perodua Kancil difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Pasak.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang itu membabitkan dua buah Perodua Kancil, sebuah Proton Bezza dan Honda Accord.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Bezza dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil dinaiki pasangan berkenaan.

“Turut terlibat dalam pertembungan itu sebuah lagi Perodua Kancil dan juga Honda Accord yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Tinggi.

“Berikutan kejadian itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan di badan.

“Pemandu Proton Bezza mengalami cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi Proton Kancil dan Honda Accord tidak alami cedera. Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Bezza,” katanya.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1)  Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Advertisements