KOTA TINGGI 18 Feb.-             Sebanyak RM30,000 diperuntukkan Parlimen Tenggara dalam bentuk baucer untuk diedarkan kepada lebih 3,000 ketua keluarga yang hadir pada Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) di Bandar Tenggara. di sini, hari ini.

Program yang julung kali dianjurkan itu memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barang-barang dapur pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kesemua baucer bernilai keseluruhan RM20,000 habis diedarkan kepada pengunjung dan mereka yang datang lambat diberi dalam bentuk tunai dengan keseluruhan melibatkan anggaran RM30,000.

Stok barangan makanan dan keperluan asas lain yang dijual oleh lebih 20 gerai habis dalam waktu singkat, katanya kepada pemberita ketika hadir pada program tersebut di sini hari ini.

Menurut Halimah, yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pihaknya akan menganjurkan program sama di Taman Kota Jaya pada bulan depan.

“Ini merupakan satu program sangat baik kerana melibatkan jabatan, agensi, pihak swasta juga usahawan kecil dibawah bimbingan Jabatan Pertanian, Fama, dan lain-lain yang dapat hadir sama,” katanya kepada media selepas hadir program berkenaan.

Katanya, ia berikutan maklum balas diterima daripada pengunjung yang mahu ia dianjurkan setiap bulan.

Jelasnya, sekiranya tidak dapat dianjurkan setiap bulan mungkin program berkenaan boleh dibuat setiap tiga bulan sekali.

“Produk dijual semuanya adalah produk tempatan yang dihasilkan rakyat kita sendiri sama ada dalam bentuk barangan hasil pembuatan seperti makanan kesihatan dan lain-lain.

“Pihak kita juga akan menganjurkan program sama di kawasan lain iaitu di Taman Kota Jaya pada Mac untuk memberi peluang kepada penduduk dari kawasan tumpuan lain merasai manfaat dari program ini,” katanya lagi.

 

Advertisements