dadah

Dadah dan botol kaca yang telah diubahsuai yang dirampas dalam sebuan di sebuah khemah di kebun kelapa sawit Felda Aping Barat, Kota Tinggi di sini Khamis semalam…Foto kredit IPD Kota Tinggi

….KOTA TINGGI 16 Feb.- Tiga lelaki berusia 22 hingga 40 tahun ditahan reman tujuh hari sehingga 21 Februari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah kerana terlibat kes dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah khemah kebun kelapa sawit Felda Aping Barat di sini kira-kira pukul 2.40 pagi Khamis semalam.

Menurutnya, Ops Tapis yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi dan Pasukan AADK Kota Tinggi itu diketuai oleh Inspektor Mohd Fikri Abd Karim.

Katanya, pemeriksaan di kawasan khemah yang dijadikan tempat menjual dan menghisap dadah telah menjumpai paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin berat kasar 34.68 gram, satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu (0.20 gram) dan satu kerajang aluminium berisi sebiji pil eramin 5 berat kasar 0.40 gram.

“Harga pasaran bagi bekalan dadah yang dirampas dianggarkan sebanyak RM1,265 bagi kegunaan anggaran 150 orang penangih di kawasan tersebut.

“Turut ditemui didalam serbuan tersebut satu botol kaca yang telah diubahsuai untuk dijadikan alatan menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ahsmon berkata, dalam ujian saringan awal air kencing pihak polis telah mendapati semua suspek positif dadah jenis morfin dan satu daripada suspek mempunyai dua rekod lampau bersabit dengan kes dadah dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Kes diasiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

 

Advertisements