KOTA TINGGI 6 Feb.- Lima lelaki tempatan berusia 21 dan 35 tahun ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (6 Feb) bagi membantu siasatan berkaitan dengan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, kelima-lima suspek berjaya ditangkap sepasukan anggota polis Balai Polis Bandar Tenggara dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kenanga, Felda Sungai Sibol di sini kira-kira pukul 2.10 petang semalam.

“Dalam sebuan tersebut, polis turut menemui dan merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 26.22 gram (gm) dan syabu seberat 7.06 gm serta wang tunai berjumlah RM562.

“Kelima-lima suspek yang tidak bekerja ini masing-masing mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan keputusan ujian saringan air kencing ke atas semua tangkapan adalah positif dadah jenis morphine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari bermula 6 Februari 2018 hingga 12 Februari 2018 untuk siasatan lanjut.

Dadah yang dirampas dalam sebuan di sebuah rumah di Jalan Kenanga, Felda Sungai Sibol, Kota Tinggi di sini, semalam. – Foto IPD Kota Tinggi

Advertisements