KEJORA 1aKOTA TINGGI 18 Sept.- Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) kini memberikan fokus kepada kepelbagaian keindahan semula jadi serta kehidupan masyarakat kampung yang dilihat amat bersesuaian untuk dijadikan sebahagian daripada pakej di bawah program pelancongan desa.

Pengurus Besar Kejora, Norazman Othman berkata, sebanyak sepuluh daripada 12 perkampungan dalam wilayah Kejora berpotensi untuk menjadi kampung pelancongan desa.

_DSC7450Kampung tersebut ialah Kampung Mawai, Kampung Sentosa, Kampung Belukar Durian, Kampung Panchor, Kampung Linting, Kampung Tanjung Serindit, Kampung Tanjung Buai, Kampung Pasir Gogok, Kampung Punggai dan Kampung Johor Lama.

Menurut Norazman, program Homestay Malaysia merupakan satu inisiatif di bawah pelan induk pelancongan luar bandar yang bertujuan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Dibawah program ini pelancong berpeluang memperolehi pengalaman tinggal bersama keluarga yang dipilih, berinteraksi dan merasai pengalaman kehidupan seharian keluarga di desa dan juga budaya masyarakat luar bandar.

_DSC7510“Sebanyak 38 pengusaha homestay dalam wilayah Kejora iaitu 15 pengusaha di Kampung Mawai Baru, 15 pengusaha di Kampung Johor Lama manakala lapan pengusaha di Kampung Belukar Durian dan di Kampung Sedili Kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pelancongan Desa 2017 di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi di sini, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Johor Lama, Mohd Noor Atan, Penghulu Mukim Johor Lama, Zaini Sayuti dan Ketua Cawangan Khas PDRM Kota Tinggi, Asisten Superintenden Amansyah Jalal.

 

Advertisements