MANCING (1)KOTA TINGGI 17 Sept.- Anak peneroka dari Felda Air Tawar 5 dekat sini, Shamsul Anuar, 35, menjadi pemenang utama setelah menaikkan ikan kitang seberat 0.195 kilogram sempena Pertan­dingan Memancing Hari Malaysia 2017 Sungai Johor di Laman Tun Sri Lanang, Kota Tinggi di sini, semalam.

Shamsul membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 setelah berjaya menaikkan ikan kitang itu pada pukul 9.30 pagi.

Ketika ditemui, Shamsul berkata, dia sendiri tidak menyangka selepas menyertai pertandingan yang bermula pada pukul 8.00 pagi itu, menjadikannya juara pada pertandingan ini.

“Alhamdulillah. Sudah tentu saya seronok malah amat bermakna sekali kerana hobi memancing kali ini memberikan pulangan rezeki untuk dikongsikan bersama ahli keluarga,” katanya.

AZMI NAN (1)

AZMI NAN

Pertandingan itu anjuran bersama Joran Bagus dengan kerjasama agensi kerajaan serta swasta sebagai rakan program.

Pengerusi pertan­dingan tersebut, Azmi Nan berkata, seramai 500 peserta dari daerah ini, Johor Bahru dan Pasir Gudang mengambil bahagian dalam pertandingan memancing di sungai berkenaan.

“Pemenang bagi tempat kedua dan ketiga di menangi peserta dari Majidee, Johor Bahru, Zainurin Sariman, 55, dan Mohd Hamid Ismail, 53, dengan menaikkan ikan baung seberat 0.190 kilogram pada pukul 9.35 pagi dan ikan duri seberat 0.190 kilogram pada pukul 10.33 pagi.

“Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000,” katanya yang turut memberitahu akan menganjurkan lagi pertandingan tersebut dengan tawaran hadiah yang sama pada 30 September ini.

Azmi berkata, selain sempena sambutan Hari Malaysia, pertandingan berkenaan bertujuan mempromosi serta memperkenalkan Kota Tinggi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terulung di negeri ini.

“Penganjuran pertandingan juga menjadi satu daripada tanggungjawab kami dalam usaha mengajak lebih ramai masyarakat beriadah dengan cara sihat sambil berkongsi idea dan pendapat berkenaan potensi Sungai Johor yang dilihat mempunyai pelbagai produk yang boleh dikomersialkan ke peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

MANCING (6)

Advertisements