HAJAT#MEDIAKOTA 10 Ogos – Hasrat seorang pesara guru untuk berjumpa kembali rakan-rakan seperjungan selepas 21 tahun bersara akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka dipertemukan semula dalam satu majlis doa selamat di kediamannya di Kampung Belading, Teluk Sengat,, Kota Tinggi di sini, baru-baru ini.

JAMIAN ISMAIL

JAMIAN ISMAIL

Jamian Ismail, 76, yang memulakan karier sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sengat pada tahun 1968 dan mula bersara pada tahun 1996 tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu dan gembira apabila berpeluang bersua kembali beberapa rakan yang pernah bertugas bersamanya.

Mereka adalah 10 bekas guru yang pernah mengajar di SK Lok Heng dan SK Bandar Easter dekat sini dan ada diantara mereka sudah 34 tahun tidak pernah jumpa.

Selain SK Telok Sengat, SK Lok Heng dan SK Bandar Easter, Jamian pernah mengajar di SK Simpang Waha, SK Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili dan SK Air Tawar 1.

WhatsApp Image 2017-08-10 at 10.33.33

SHAHARIA JAMIAN

Menurut anak kedua daripada lapan beradik, Shaharia Jamian, 45, sebenarnya majlis pertemuan ini diadakan atas sebab hasrat ayah yang benar-benar berhajat untuk bertemu rakan setugas sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, dia turut teruja apabila dapat merealisasikan impian ayah dengan mengadakan majlis pertemuan dengan bekas guru-guru beliau untuk bersua setelah sekian lama tidak berjumpa.

“Memandangkan keadaan kesihatan beliau yang membataskan pergerakannya saya telah merancang lebih dua bulan (sejak bulan puasa) melalui aplikasi mesej WhatsApp, namun berkat kesabaran serta sokongan daripada rakan-rakan setugas ayah akhirnya pertemuan santai tersebut menjadi realiti.

“Sesungguhnya kewujudan aplikasi media sosial ini telah merealisasikan impian ayah untuk bertemu semula selepas 21 tahun terpisah, syukurlah kecanggihan teknologi kini banyak membantu,” katanya yang ditemui dikediaman bapanya Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi di sini.

Shahria berkata, sesiapa pun sudah tentu mempunyai perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama, begitu juga dengan ayahnya, diharap pertemuan itulah saat terindah apabila dapat bertemu semula buat pertama kalinya.

Terima kasih kepada semua rakan ayah yang telah hadir kerana telah merialisasikan majlis ini. Ada yang datang dari Negeri Sembilan, Melaka, Muar dan Kota Tinggi,” katanya.

Advertisements