ANJING (1)#MEDIAKOTA 9 Ogos – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang mengambil inisiatif melakukan ops kejar sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan penyakit rabies.

Setiausaha PBT Pengerang, Shamsulbahri Md Dali berkata, seramai 35 anggota terdiri daripada pasukan vektor dan kontraktor dilantik menyertai operasi itu, hari ini.

SHAMSULBAHRI MD DALI

SHAMSULBAHRI

Menurutnya, operasi membabitkan kawasan tumpuan umum mempunyai kepadatan warga asing yang berpotensi terdedahnya wabak tersebut berjaya menangkap 10 ekor anjing liar.

“Operasi ini dilakukan renteran daripada aduan diterima iaitu dalam tempoh sebulan sebanyak 15 aduan kita terima daripada orang awam.

“Kehadiran haiwan ini bukanlah baru tetapi sudah ada sekian lama dan apabila PBT Pengerang wujud kita terus melakukan operasi,” katanya.

Shamsulbahri berkata, PBT Pengerang mengambil serius dan berusaha dalam melaksanakan pencegahan menangani penyakit rabies sekali gus mahu mewujudkan kawasan serta kehidupan masyarakat yang bebas daripada penyakit tersebut.

Bagi pemilik yang mahu memelihara anjing juga disarankan agar memohon lesen anjing kepada pihak PBT Pengerang supaya memastikan anjing dipelihara disuntik bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Pemilik yang sudah memiliki lesen berkenaan juga perlulah memastikan anjing mereka diikat tidak berkeliaran bagi mengelakan dari dikompaun.

Beliau juga menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa berada di kawasan tumpuan umum dan segera membuat aduan kepada PBT Pengerang sekiranya terdapat anjing yang berkelakuan ganas dan membahayakan.

“Ia bagi memastikan pihak kita dapat mengambil tindakan pantas,” katanya lagi.

Advertisements